Entri sebelum ni aku ada bercerita tentang perpustakaan yang menjadi tempat kegemaranku. Aku tidak boleh menahan diri untuk tidak mengenang buku-buku yang memberi 'kesan' di hati sepanjang memegang 'title' peminjam buku di perpustakaan Kota Belud.
Pertama, aku sendiri sudah lupa tajuknya. Tentang cerita adik-beradik kucing. Aku masih ingat kulit buku cerita ini agak lusuh, tapi aku membacanya berulang-ulang kali sebab ceritanya sangatlah sedih. Sampai tak tidur malam aku dibuatnya sebab terlalu sedih membaca tentang ibu kucing yang mengorbankan dirinya dipatuk ular demi menyelamatkan anak-anaknya.
Kedua, siri cerita 25 rasul. Aku masih ingat buku-buku ini diletakkan dalam satu rak yang sama, satu buku satu kisah rasul. Mungkin kerana buku cerita ini kurang dibaca, aku sentiasa memiliki keselesaan untuk memilih tanpa perlu menunggu giliran pada rak ini. Siri buku ini berwarna kuning, dan aku paling gemari kisah Nabi Yusuf. Mungkin kerana banyak membaca buku-buku sirah nabi, ia mempengaruhi aku dalam pembelajaran. Aku paling menyukai subjek Sejarah. Semasa SPM dulu, subjek inilah satu-satunya aku dapat A1. hehe. Kalau setakat sejarah kesultanan Melaka, aku boleh 'explain' dengan sangat detail termasuklah tarikh-tarikh penting dari zaman Parameswara sehinggalah kejatuhannya pada tahun 1511. Sebab tulah aku ada perasaan teruja amat sangat semasa mula-mula 'bertemu' dengan kota A Famosa. Teruklah aku ni kan..hahaha.
Masuk tingkatan 4, aku mula belajar meminjam buku-buku cerita bahasa Inggeris, walaupun kebanyakannya aku tidak faham sangat. Aku mula meminjam buku bahasa Inggeris sebab aku terjumpa novel Charles Dicken yang bertajuk 'Great Expectations' yang selamat daripada menjadi mangsa banjir di stor rumah.Kebetulan pula masa tu aku dapat tahu novel ini sedang difilemkan. Buku tu nampak sangat tua, namun aku tidak mampu 'menghadam' intipatinya walaupun baru 2 mukasurat pertama. Jenuh aku membaca dengan kamus di sebelah. Sebab itu lah aku mula membaca buku bahasa Inggeris, dengan harapan selepas 'pandai', aku bolehlah membaca novel tu dengan lancar. Namun, malangnya selepas dah rasa 'terror' sikit, aku pun tak tahu ke mana novel tu pergi. Cuma terngiang-ngiang salah satu baris skrip yang menjadi 'preview' filem Great Expectation pada masa itu, "this is my heart and its broken."
Walaupun sampai sekarang aku belum membaca novel ini, namun aku akhirnya membaca banyak novel remaja -siri SVH dan SVU, juga novel-novel tulisan Barbara Cartland. Aku sendiri mengharapkan perpustakaan pada masa itu memiliki lebih banyak buku. Tapi ia cuma perpustakaan yang terletak di sebuah pekan kecil. Sesungguhnya ia memerlukan lebih banyak buku-buku. Aku kurang periksa bagaimana keadaannya sekarang. Tengoklah, kalau balik kampung nanti, aku cuba untuk berkunjung sekejap. Hmm..sebenarnya ada 2 buah buku aku tak pulangkan sampai sekarang.. buku pelan rumah pulak tu. aku dah suruh sepupu aku hantar dulu (sebab aku tak sempat, kena balik Unimas masa tu). Haishh..macam manalah aku nak berdepan dengan uncle tu..hihihi.
Bahan bacaan semasa kecil memang banyak mempengaruhi perkembangan kita. Ibu bapa harus mendedahkan bahan bacaan kepada anak-anak seawal yang mungkin. Terima kasih dengan mak ayah aku yang memberi 'hadiah' paling berharga ketika aku kecil dahulu, iaitu 'keahlian perpustakaan' yang membenarkan aku meneroka seisi dunia melalui pembacaan. Dari cerita kanak-kanak ke novel dewasa, ensiklopedia dan buku-buku sejarah..kesemuanya memang seronok dibaca.
0 comments:
Post a Comment