Pages

ads

Sunday, February 12, 2012

'Egg In The Basket' ala V

Siapa pernah tengok V for Vendetta? Kalau pernah tengok, mesti ingat 'egg in the basket' yang dia sediakan untuk Evey.

Pagi ini terasa nak buat sarapan ala V tu pulak... Sampai sekarang, satu-satunya yang aku ingat tentang filem tu selain daripada topeng dan letupan bermuzikalnya, sudah tentulah sarapan yang nampak sedap tu. Mula-mula dulu ingatkan telur tu main letak sahaja atas roti, patutlah tak jadi-jadi aku buat..hahaha. Bila sudah tahu,bukannya susah pun...

bahan-bahannya:
Sebiji telur untuk setiap sekeping roti, dan
sedikit mentega

Mula-mula, gunakan cawan untuk membuat lubang di tengah-tengah roti.

Panaskan sedikit mentega. Kalau mentega tiada.. marjerin atau minyak pun boleh, asalkan kamu rasa bahagia..hihihi. Sudah panas, letaklah roti berlubang tu. Kemudian pecahkan sebiji telur yang di tengah-tengah. kalau kamu rasa tiada masalah dengan kalori, bolehlah banyakkan mentega tu sampai penuh permukaan kuali macam si V for Vendetta tu buat. Dah warna keperangan di bahagian bawah tu, bolehlah terbalikkan. kalau terror, bolehlah buat gaya ala V dengan melambung roti tu.

Dah siap pun. Boleh dimakan begitu sahaja sebab mentega tu memberi rasa lemak-lemak masin. Kalau ada kari ayam, pergh...lagi sedap. Makan dengan sardin pun aku pernah buat. Veenea yang kategori 'picky eaters' tu pun boleh habiskan sekeping tadi. Okey, selamat mencuba.

Wednesday, February 01, 2012

Istimewanya Pekan Kecil

 


Aku berasal dari Kota Belud, sebuah pekan kecil, terletak kira-kira sejam perjalanan dari Kota Kinabalu. Pekan yang terkenal dengan kuda. Walaupun sudah mendiami banyak tempat serata Malaysia, pada aku pekan kecil ini tetap nombor satu di hati. Justeru, tidak hairanlah setiap tahun aku pasti akan pulang ke Kota Belud, satu atau dua kali.

Memang rasa sangat selesa apabila berjalan di mana-mana, kita tidak rasa terasing. Walaupun jarang pulang, setiap kali aku ke pekan untuk membeli barang atau makan di kedai, pasti ada sahaja orang menyapa. Ada dari kalangan kawan-kawan sekolah, ada juga yang merupakan kawan-kawan mak dan ayah, kawan sekampung, sekadar kenalan satu sekolah... Tidak kurang kawan kepada abang aku. Pendek kata, aku dikenali mereka bukan sekadar diri aku, tetapi juga sebagai sebahagian daripada komuniti dan keluarga.

Lucunya, ada di kalangan mereka merupakan 'kawan bergaduh' aku semasa zaman sekolah dahulu. Memang tidak ramai yang tahu di sebalik wajah 'innocent' dan tubuh kecil(sewaktu sekolah rendah), aku pernah memberi 'buku lima' kepada beberapa orang samseng sekolah. Aku paling tidak suka diejek-ejek, kalau terkena memang mulut aku tidak banyak bicara, aku biarkan tangan dan kaki yang membalas. Jika mereka laporkan kepada guru disiplin, memang cikgu tak percaya..sebab aku pelajar contoh, mereka sudah terkenal dengan 'kesamsengan'. Meningkat dewasa, hubungan aku dengan 'kawan bergaduh' ini, juga berubah. Mungkin sebab perselisihan itu tidak melibatkan dendam dan bukan terlalu serius. Malah, dalam semasa memasuki umur 'zaman kampus', setiap kali balik ke pekan kecil ini dan bertembung dengan mereka, aku pasti menerima 'tabik' dan sapaan bertanya khabar. Mereka masih 'samseng', namun disebabkan mereka kenal aku, aku dapat 'pengecualian' daripada diganggu.

Tempat yang menjadi kegemaran aku di pekan ini, sudah tentu perpustakaan. aku menjadi pengunjung setia sejak berumur 8 tahun sehinggalah kali terakhir sebelum merantau dan bertemu jodoh dengan orang Tanah Melayu. Semasa di bangku sekolah, boleh dikatakan saban minggu aku mengunjungi perpustakaan untuk meminjam buku. Masuk zaman kampus, walaupun belajar di Bumi Kenyalang, setiap kali cuti semester aku pasti mengunjungi perpustakaan ini dan meminjam buku. Uncle yang jaga kaunter (aku gelar Uncle Bruce lee sebab wajah dia macam Bruce Lee..hehehe) pun cam aku. Tiap kali dia ternampak aku selepas tidak bersua untuk tempoh yang panjang, dia mesti akan mengimbas kembali mengatakan aku masih kecil ketika mula-mula berkunjung di situ. kadangkala dia akan mengatakan, aku dahulu terlalu kecil untuk berada di sebalik meja kaunter pinjaman buku (kaunter tu tinggi sampai aku terpaksa menjungkitkan kaki apabila menghulurkan buku untuk di'cop' tarikh pemulangan). Aku rasa, sedikit sebanyak dia melihat aku membesar dari satu sudut yang lain. Semasa bersembang dengan ayah hari tu, Uncle ni rupanya tahu aku sudah ada novel sendiri (segan juga sebab aku berhenti menulis sudah beberapa ketika), dan mengatakan novel aku tu tidak pernah sampai ke rak; sebabnya sentiasa dipinjam bersambung-sambung. Ia mungkin senang diterima kerana cerita dalam novel itu memang berlatarbelakangkan suasana tempat di daerah itu sendiri. Rasanya sudah 6-7 tahun sejak kali terakhir aku menjejakkan kali ke perpustakaan itu, dan sekarang ni bangunan baru yang lebih besar sedang dibina bersebelahan dengan pejabat pos.

Walaupun sudah 30 tahun mengenali pekan Kota Belud, aku suka dengan keadaan pekan ini, kerana pembangunan dari segi binaan tidak begitu rakus. Ada sesetengah tempat yang aku rasa berada dalam 'kapsul masa', kerana tidak berubah sejak aku dari kecil dahulu. Mungkin sebab itu setiap kali balik kampung, aku selalu 'terlupa' bagaimana untuk mengemas kain baju ke dalam beg, selalu rasa berat hati untuk kembali ke tempat tinggal aku sekarang.

Ya, memang rasa senang dan selamat berada di pekan kecil di mana semua orang saling mengenali.