Pages

ads

Showing posts with label Budaya. Show all posts
Showing posts with label Budaya. Show all posts

Thursday, May 24, 2012

Adab Melancong

Aik, melancong pun kena beradab ke? Ya, sudah tentu. Aku cuma nak sentuh part kecil sahaja, iaitu makanan. Kalau orang muslim, ya sudah tentu mesti mencari makanan yang halal...itu aku tak nak argue apa-apa. Mencari yang halal itu memang wajib.

Tapi yang aku nak sentuh pasal jenis makanan itu. Pernah aku dengar seorang kenalan yang merungut ketika berkunjung ke Kota Kinabalu, yang pertama kali buatnya. Dia mula mengatakan indah khabar dari rupalah... risik punya risik, rupanya dia tidak berkenan dengan makanan di sana. Risik lagi risik, rupanya dia mencari makanan yang pedas-pedas, nak yang tomyam, asam pedas, masak lemak cili api...pendek kata nak yang serba-serbi macam masakan di tempat asalnya.

Reaksi aku? Aku pukul dahi. Dia ni reti melancongkah tidak? Sepanjang aku berada di semenanjung Malaysia ni, aku taklah gila nak mencari ambuyat, hinava, bosou,mi rojak  atau ikan ampap walaupun makanan itu pada selera aku jauh lebih sedap daripada tomyam atau rendang. Ini kerana aku sedang 'sedar diri' bahawa kaki ini memijak geografi muka bumi yang mana.

Begitu juga ketika berada di Samarahan suatu ketika dahulu. Aku tidak boleh nak buat apa-apa kalau ada di kalangan kawan yang bukan orang tempatan tidak gemar akan makanan di sana. Tapi melabel pekedai/penjual makanan sebagai tidak reti memasak hanya kerana ia tidak menyamai makanan mengikut menu tempat asal, itu bagi aku tidak patut. Apabila kita berada di tempat orang, itu bermakna kita sedang mempelajari budaya orang.

Teringat juga akan soalan yang pernah diajukan kepadaku oleh salah seorang kenalan tentang menu makanan semasa kenduri kahwin yang dihadirinya di Sabah, kenapa kena ada masakan 'masak kicap'. Pergi mana-mana pun ada masak kicap. Aku rasa nak tergelak pun ada masa tu. Nasiblah si kawan sebelah yang satu negeri dengannya cepat-cepat tolong jawab, "hang ni... samalah macam tempat kita, semua nak masak kari. Tempat orang toksah nak bandinglah." Lepas tu dia ter'blurr' sekejap, kemudian kami sama-sama ketawa. haii... biasalah tu...kadang-kadang terlupa yang makanan orang berbeza-beza.
Walaupun kita di satu negara yang sama, kita memang kaya dengan adat dan budaya tersendiri. Yang penting harus belajar saling menerima dan 'enjoy' dengan masakan yang pelbagai...asalkan halal.


nota kaki: kalau kat Amerika, pandai pulak cakap kena belajar makan roti, sebab tiada nasi. apa dah....

Wednesday, October 05, 2011

Orang Sabah dan Orang Sarawak


Aku anak kelahiran Sabah dan membesar di Sabah. Berpeluang menuntut di Universiti Malaysia Sarawak selama 4 tahun, dan kini menetap di Selangor. Topiknya kali ini, tentang orang Sabah dan orang Sarawak.

Sepanjang tinggal di tanah semenanjung ini, aku sering dikelirukan sebagai orang Sabah atau orang Sarawak, walhal 2 negeri ini berbeza. Malah mertua aku sendiri, pada awal-awal dulu tidak dapat membezakan 2 negeri ini dan berpendapat ia sama sahaja. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan di semenanjung Malaysia, aku dapati ramai yang beranggapan begitu, yang hampir kesemuanya  belum pernah menjejakkan kaki kedua-dua negeri atau baru menjejakkan kaki di salah sebuah negeri. Lagi lucu bila ada orang yang mengetahui aku orang Sabah, dan mula bertanya perihal daerah-daerah yang terletak di Sarawak. Mujurlah aku pernah tinggal di negeri Sarawak selama 4 tahun, maka aku tidak kekok menjawab soalan tentang negeri itu. Malah ada yang beranggapan dialek di Sabah dan Sarawak sama sahaja. Sedangkan bahasa pertuturan di 2 negeri ini jauh berbeza. Dan sebenarnya, hal ini sama berlaku di tanah kelahiranku. Bila aku mengatakan suamiku orang Melayu, ramai yang menggelarnya orang KL...walhal dia kelahiran Teluk Intan. Malah ada yang bertitip salam kepada anak mereka yang sudah lama tidak balik kampung, apabila aku mahu kembali ke tanah semenanjung.Bila aku bertanya anak mereka tinggal di mana, jawapannya, "Johor!" walhal aku tinggal di Selangor.

Sekiranya kita masih ingat, tentu kita akan perasan semasa melihat peta Malaysia semasa subjek Geografi di bangku sekolah dahulu, bahawa gabungan 2 negeri; Sabah dan Sarawak membentuk keluasan yang melebihi keluasan 12 negeri (termasuk KL), yang terdapat di tanah semenanjung. Walaupun pada nama ia cuma membentuk 2 negeri, hakikatnya keluasan tanahnya memberi pecahan kepada banyak kampung dan daerah. Walaupun orang Sabah, aku sendiri belum 'khatam' menerokai setiap inci negeri kelahiranku ini. Berbeza dengan tempat tinggalku sekarang, pagi-pagi aku boleh berada di Nilai, minum pagi di Putrajaya, makan tengahari di KL, minum petang di Sabak Bernam, shopping di Teluk Intan... dalam satu hari, boleh berada di 3@4 buah negeri. Berbeza di Borneo, jika anda berada di Kuching, ia mengambil masa 2-3 hari perjalanan darat untuk sampai ke Kota Kinabalu.

Aku bersyukur kerana diberi peluang menjejakkan kaki di beberapa buah negeri seluruh Malaysia, bukan setakat menjejak kaki, tetapi mendiami; yakni mendalami 'trend' dan budaya di sesebuah kawasan. Jika tidak berpeluang menjejak kaki secara zahir, kita sebenarnya masih boleh belajar banyak perkara tentang sesebuah kawasan melalui pembacaan. Apatah lagi dengan kemudahan internet yang ada sekarang, semakin banyak maklumat yang kita boleh perolehi di seluruh dunia, semua di hujung jari kita.

Betullah kata orang-orang dahulu, jauh berjalan, luas pemandangan. Janganlah kita menjadi katak di bawah tempurung. Jika ada peluang, negara orang pula yang ingin kuterokai. Aku sering mengambil iktibar perjuangan Rasul kita yang sanggup berhijrah hinggah ke Madinah untuk menyebarkan syariat Islam. Jangan takut untuk ke negeri/negara orang untuk mencari peluang atau meluaskan pengalaman.

Oh, ya. untuk rakan-rakanku yang masih keliru dengan identitiku, harap maklum ya, aku ni orang Sabah. Bukannya apa, masih ada yang menitip pesanan ikan terubuk bila aku nak balik kampung... terubuk tu 'famous' di Sarawak!