Pages

ads

Wednesday, May 23, 2012

Kisah cikgu disiplin

Aku percaya... semasa zaman sekolah, masing-masing ada cerita mengenai 'cikgu garang'.Mitos (mungkin juga fakta) yang paling popular adalah, guru yang memegang jawatan 'cikgu disiplin'. Jarang-jarang aku dengar cikgu disiplin yang lemah-lembut. Semuanya tegas belaka. Masih ingat lagi sebelum masuk tingkatan 1 di SMARD dahulu, aku sudah mendengar tentang kegarangan Cikgu Lily dan Cikgu Farman melalui rakan-rakan sekampung yang lebih senior. Sampai risau dibuatnya nak masuk sekolah menengah waktu tu.

Masuk SMARD, pertama kali terlihat akan cikgu-cikgu disiplin sidang petang ini (sesi tingkatan 1-3), aku memang sudah ada mentaliti 'takut'. Dengar-dengar dahsyatlah kegarangan mereka ini. Malah, waktu tingkatan 1, aku pernah menjadi mangsa 'gunting' Cikgu Lily kerana rambut panjang di hadapan, melebihi paras kening.(masa tu tak pakai tudung lagi). Bengang pun ada masa tu sebab Cikgu Lily potong rambut senget 45 darjah. Jadi bila aku 'repair' rambut, memang terpaksa potong pendek gila-gila. Rasa macam kartun pun ada.

Masuk tingkatan 2, aku berpeluang mendekati Cikgu Lily melalui Kelab Pencinta Alam. Setelah terlibat dengan banyak aktiviti, aku rasa Cikgu Lily ni sebenarnya taklah garang mana. Dia garang waktu peraturan dilanggar sahaja. Kalau waktu biasa-biasa, dia sporting sebenarnya. Begitu juga selepas beliau menjadi guru yang mengajar BI di kelasku. Tak dahsyat pun. janji, jangan langgar peraturan..itu sahaja! Malah, sepanjang waktu belajar di SMARD, sebagai ketua Kelas dari tingkatan 2 sampailah tingkatan 5, aku memang kena selalu masuk bilik disiplin untuk menghantar apa-apa laporan. Kebetulah guru displin yang lain seperti Cikgu Mohd Asrah adalah cikgu matematik aku semasa tingkatan 1, Cikgu Johari pula cikgu BI aku semasa tingkatan 2, dan yang paling best, Cikgu Bayani merupakan 'mak' atau mentor aku semasa di tingkatan 3. Semua pun guru disiplin. Tapi hubungan aku baik dengan mereka semua.

Masuk tingkatan 4, aku berkenalan lagi dengan seorang guru disiplin sidang pagi(sesi tingkatan 4-6), iaitu Cikgu Zaiton. Sebenarnya garang cikgu ni hanya pada ketegasannya. Pernah sekali aku datang lambat ke sekolah, aku dan pelajar lain yang senasib disuruhnya pungut sampat di sekitar 'kolam ikan Cikgu Ashmir' (sebab Cikgu Ashmir selalu bagi ikan makan..hihi). Aku yang memang sebenarnya agak nakal, boleh main-main waktu tu. Walaupun Cikgu Zaiton tengah cekak pinggang, aku boleh dok senyum-senyum. lagipun 'jenayah' yang aku buat bukannya dahsyat pun...salah drebar van yang lambat hantar kami ke sekolah.

namun, 'cikgu disiplin' yang paling aku kenali dalam hidup aku adalah ayah aku sendiri. Ayah memang garang dengan budak-budak sekolah yang nakal-nakal. Tidak dinafikan kami adik-beradik (dengan abang...masa tu adik belum lahir) pun turut sama 'didisiplinkan' di rumah. Lagilah memang sah-sah aku ni agak nakal dahulu. Namun, bagi aku mana-mana cikgu disiplin pun sebenarnya berhati baik. Di rumah (selain waktu mendisiplinkan), ayah seorang ayah yang sangat penyayang. Semua cikgu disiplin di sekolah tu pun orang juga macam kita. Ada keluarga, ada adik-beradik, suami, isteri, dan anak-anak.

Dah tua-tua ni, bila terkenang balik memanglah senyum-senyum sendiri. sekarang ni ramai pula kawan-kawan yang jadi cikgu. Hah, barulah mereka merasa dan faham kenapa perlu menjadi tegas dengan anak-anak murid. ada yang siap tulis dalam Facebook akan kenakalan murid-murid yang ponteng kelas tapi dia tak tahu nak bereaksi macam mana memandangkan dahulu dia juga pernah ponteng kelas...malah Semua geng-geng ponteng dia pulak dah jadi engineer, pegawai tinggi... jadi dia menyimpulkan budak-budak ponteng ini kita tak boleh tuduh 'macam-macam', sebab mereka mungkin jadi orang-orang yang hebat kelak. Hmmm..nak dijadikan cerita, aku pun pernah ponteng kelas dan pernah didenda zaman sekolah dahulu. Tapi ponteng aku setakat merayau di dalam kawasan sekolah ataupun ponteng kelas tambahan. tidaklah sampai buat benda-benda pelik. masih dalam kategori ponteng 'budak baik' lagi. hihi. Alhamdulillah, geng-geng ponteng aku semua jadi 'orang' dan punya kerjaya yang hebat-hebat. 

Kedudukan guru disiplin di sekolah memang sangat penting... Tanpa mereka, mungkin 'kenakalan' aku menjadi-jadi waktu itu. Kepada cikgu-cikgu yang aku sebut namanya di atas, terima kasih kerana 'menjaga' aku sepanjang waktu belajar di SMARD. Tanpa kalian, siapalah aku...
 

No comments:

Post a Comment