Pages

ads

Showing posts with label Pencinta Alam. Show all posts
Showing posts with label Pencinta Alam. Show all posts

Wednesday, July 18, 2012

Hasil Kitar Semula (Pencinta Alam Bahagian 5)


Teringat akan satu entri tahun yang lepas, iaitu tentang kitar semula. Bagaimana aku menyatakan bahawa di rumah ini aku mengitar semula bahan-bahan yang boleh dijual seperti suratkhabar dan botol-botol plastik, di sini. Aku juga ada sebut yang aku kumpulkan hasil jualan kitar semula dan nak tengok hasilnya selepas setahun.


Apa kaitannya dengan gambar di atas? sebenarnya sebahagian daripada duit jualan tu aku gunakan untuk membeli novel-novel ini. Novel ini pulak bukannya aku beli di kedai buku, tapi dari seorang kawan. Maknanya, membeli dengan konsep 'kitar semula' juga. Membeli novel terpakai, sebab jauh lebih murah. Kalau di kedai, novel macam ni berpuluh ringgit satu.

Lepas tu sebahagian lagi duit jualan, aku dah buat bayar tong gas dan beli biskut-biskut Vee Jr. Dalam lingkungan RM60++ kut. Tak ingat. Tapi best kan? Bahan-bahan terbuang boleh 'bertukar' jadi sesuatu. Aku agak 'kesal' sebab 'lori suratkhabar lama' ni tak ambik botol-botol kaca dan sampah plastik (selain daripada jenis botol plastik). Bukannya aku nak kumpul duit, tapi aku cuma nak memaksimumkan pengitaran semula. Aku tak kesah pun berapa mereka nak beli..janji aku boleh membantu sedikit dalam usaha memulihara alam sekitar.

Aku pula biasanya membeli barang dapur pada hari Sabtu, jadi secara automatik aku akan membawa beg sendiri. Aku pernah jumpa beberapa orang yang enggan membeli barang pada hari Sabtu dengan alasan plastik kena bayar. Aiyoo..kalau dah tahu tu, bawalah beg sendiri, bukannya susah pun. Kita ni dilantik sebagai pentadbir di muka bumi, marilah kita sama-sama menjaga alam sekitar yang 'dipinjamkan' oleh Yang Maha Pencipta. Kalau dalam diri itu ada tercalit perasaan 'hamba' dan sedar segala yang ada di dunia ini bukan kita punya, sudah tentu kita tidak keberatan untuk sama-sama mencuba cara untuk memelihara dunia ini. Kalau diniatkan membawa beg sendiri itu untuk tujuan kebaikan sejagat, Insya Allah ia akan diterima sebagai satu amal ibadah.

Marilah menjaga alam sekitar!

Wednesday, November 02, 2011

Pencinta Alam (Bahagian 4 - Kitar Semula)

Sebetulnya hari ini bakal menjadi sibuk seperti semalam. Esok tempahan macaron dan beberapa biji kek perlu dihantar. Kalau sebelum ni main ingat sahaja di kepala, sekarang sudah perlu ditulis supaya tiada yang tertinggal kerana bilangannya semakin bertambah, alhamdulillah.

Aku terasa mahu menulis sedikit entri blog ini sebelum memulakan 'hari yang bakal sibuk' ini. Masih tentang kecintaan terhadap alam. Tentang apa yang aku sedang cuba usahakan di rumah ini. Sejak dahulu, aku memang terfikir untuk mengasingkan sampah-sarap di rumah ini mengikut jenis. Kononnya mahu mengitar semula benda-benda yang mungkin berguna. Cuma sejak berhenti kerja ni, barulah mata ini agak lapang untuk mencari tempat dan rajin sedikit untuk mengumpulkan bahan-bahan tidak berguna ini. Kalau dahulu, kesemuanya pun berakhir pada satu plastik yang sama, dan bakal dipungut lori sampah setiap Selasa, khamis dan Sabtu. Malah, dahulu tidak perasan pun bila sebenarnya lori ni datang sebab pagi-pagi dah keluar, malam baru balik.

Sejujurnya usaha mengasingkan sampah ni, bukannya terlaksana dengan sempurna. Setakat ini, cuma kertas dan botol-botol plastik sahaja yang betul-betul diasingkan. Sudah 2 kali menjualkannya dengan lori 'suratkhabar lama'. memanglah sedikit sahaja hasilnya, lagipun tujuan utama buat macam ni adalah untuk mengurang sampah ke tapak pelupusan, tetapi memaksimumkan sapah yang dikitar semula. Hasil jualan ni aku sengaja letakkan pada satu bekas, saja nak tahu bagaimana hasilnya selepas setahun, hehe.

Lepas tu, aku juga menukarkan beg plastik sampah dari yang biasa kepada mudah urai. Lebih sedikit beberapa sen, tapi niat tu memang nak menjadi sebahagian kecil daripada usaha untuk mengurangkan pencemaran. Anggaplah hasil jualan benda-benda kitar semula tu dilaburkan untuk plastik sampah yang sedikit mahal ni.(beza tak sampai 50 sen pun). Aku juga 'respect' dengan usaha beberapa pasaraya besar yang menggunakan beg plastik mudah urai, contohnya seperti Tesco. Seharusnya, tempat-tempat lain mencontohi usaha seperti ini.

Okeylah, hari yang sibuk bakal bermula.

Monday, October 31, 2011

Pencinta Alam (Bahagian 3 - Beg Sendiri)


Aku tidak menafikan ada kecintaan yang kuat terhadap alam sekitar di dalam diri aku. Mungkin latar belakang aku sendiri yang lahir dan membesar dalam suasana kampung yang penuh kehijauan. Hidup zaman kampus dulu pula di bumi kenyalang, UNIMAS di Kota Samarahan yang pada masa itu masih di kampus lama...ala-ala chalet dan memang dikelilingi rimbunan pokok menghijau, sangat sesuai dengan logonya iaitu pokok kayu. Maka, apabila aku menjejak kaki di sini (Kajang) kira-kira 5 tahun lepas, tidak hairanlah kepala aku jadi sakit dek pemandangan mata yang hanya melihat konkrit, konkrit dan konkrit. Telinga aku bingit dengan pencemaran bunyi, terutama semasa sempat duduk di KL. Setiap hari perlu mendengar bunyi tren dan hon kenderaan yang bagai tidak berpenghujung.

Selepas berumahtangga, aku dan suami duduk di Semenyih. Hati aku sedikit lega, meskipun tinggal di kawasan taman perumahan, suasana di sini agak tenang dan konsep rumah di sini yang kulihat mengamalkan 1 rumah 1 pokok. Di depan rumah ni ada pokok jambu air yang berbuah ranum sepanjang masa. Kawan-kawan yang pernah berkunjung di sini pun mengatakan suasana di sini agak relaks dan tidak bingit seperti mereka yang tinggal di ibukota. Mungkin sebab itu aku sentiasa menolak cadangan suami untuk berpindah ke rumahnya (rumah yang belum didiami..belum terasa nak panggil rumah 'kami') di Rawang. Selepas beberapa kali ke sana, aku masih kurang berkenan dengan suasana sekelilingnya.

Sejak kerajaan Selangor memutuskan untuk menjadikan hari Sabtu adalah Hari Tanpa Beg Plastik sejak Januari 2010 (diikuti oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun berikutnya), aku agak gembira kerana ini satu langkah yang positif dalam usaha memanjangkan hayat bumi, walaupun hayat bumi itu sebenarnya terletak pada kuasa Tuhan. Namun sebagai penghuni, aku percaya kita perlu bertanggungjawab ke atas setiap perbuatan yang menyumbang kepada pencemaran alam, memandangkan kita yang tergolong dalam spesies 'manusia' yang merupakan satu-satunya mahkluk yang dikurniakan akal fikiran untuk membuat sebarang keputusan yang wajar.

Menceritakan pengalaman pada awal perlaksanaan program ini ketika masih bekerja di salah sebuah kedai farmasi rangkaian, aku dan rakan-rakan sekerja mengalami banyak kesukaran. Ya, memang susah untuk mengubah tabiat manusia, apatah lagi jika fikiran mereka terlalu banyak unsur negatif. Mungkin cara perlaksanaan program yang meminta pelanggan membawa beg sendiri pada setiap hari Sabtu itu dianggap tidak relevan bagi sesetengah pihak yang aku kira sebagai 'buta hati'. Aku melabelkan begitu kerana mereka merungut, mengeluarkan kata-kata kesat kepada kami yang berada di kaunter pembayaran seolah-olah tiada langsung perasaan tanggungjawab dalam menjaga alam sekitar. Malah, kadangkala bersikap biadap kerana beg plastik pada hari Sabtu dikenakan bayaran 20sen setiap satu. Mereka mula bercerita tentang penyelewengan duit 20sen (yang sebenarnya disalurkan pada badan-badan kebajikan), tidak kurang ada yang membangkitkan soal politik dan memarahi kami kononnya menyusahkan mereka. Perkara biasa pada ketika itu bila ada pelanggan yang menghentak meja kaunter, membatalkan transaksi pembelian dan wajah kami dituding-tuding dengan jari. Memang perit mendidik jiwa manusia! Aku sedih terutama jika mereka ini terdiri dari golongan ibu bapa dan disaksikan oleh anak-anak mereka yang masih kecil. Dalam hati ini berbisik, beginikah contoh yang mereka mahu tunjukkan pada generasi pelapis negara? Justeru pembentukan akhlak yang bagaimana harus mereka inginkan jika semua kebiadapan ini dilakukan di hadapan anak-anak yang masih mentah? Aku okey jika mereka terlupa membawa beg, harus membayar 20sen, menerimanya dengan doa di hati ini agar itu menjadi ingatan kepada mereka di masa-masa akan datang untuk tidak lupa. Aku sendiri kadang-kadang terlupa membawa beg sendiri pada hari Sabtu, kadang-kadang terpaksa membayar 20sen dan kemudian mengingatkan diri supaya pada masa-masa akan datang tidak mengulanginya lagi. Lagipun objektif utamanya adalah mengurangkan penggunaan beg plastik, bukan nak pungut duit. kalau tidak dibuat begitu, nescaya kita tidak ada kesedaran kerana bayangkan selepas setahun (januari 2011), masih ada pelanggan yang tidak tahu akan perlaksanaan program ini.

Aku cukup 'tabik' pada kaum Cina, kerana rata-rata pelanggan Cina di kedai pada masa itu, hanya memerlukan 3 minggu untuk memupuk kesedaran membawa beg sendiri. Selepas itu, aku memang tiada masalah terhadap mereka, malah pada hari-hari biasa pun mereka bawa beg sendiri. Mereka secara berseloroh berkata, "Rugi maa...20sen." Ya, mereka memang bijak mengatur perbelanjaan walaupun hanya melibatkan amaun kecil, sekaligus menyokong program ini. Itu menunjukkan mereka peka dan positif menerima objektif program Hari Tanpa Plastik ini.

Program sebegini harus disokong. Perlu menerimanya dengan hati yang lapang, kerana alam ini bukan kita yang punya. Alam ini akan kita wariskan kepada anak-anak kita. Kita tidak patut mewariskan alam ini dengan keadaannya rosak hanya kerana kita degil untuk mengurangkan penggunaan plastik. Tanggungjawab sekecil itu pun payah sangat untuk dilaksanakan. Berfikir positiflah, setiap kali anda membawa beg anda sendiri, berdoalah dalam hati kalau ada 10 orang membuat tindakan yang sama seperti anda (mengubah beg plastik kepada beg sendiri), maka dunia ini akan menjadi lebih baik. Tidak susah pun. Kasihan anak cucu kita jika mendiami dunia yang tercemar dengan kita sebagai salah seorang penyumbang kerosakan alam.

Friday, September 30, 2011

Pencinta Alam (Bahagian 2 - Kinabalu)

Pemandangan Gunung Kinabalu dari kampungku (Gambar dari Http://rangalau.blogspot.com)



Aku sering berseloroh, tidak sah menjadi orang Sabah kalau belum mendaki Kinabalu! Itu sebenarnya hanya kata-kata gurauan, namun aku bangga kerana sudah menawan puncak tertinggi di Asia Tenggara itu.

Seperti Lembah Danum, mendaki Kinabalu bukan sebahagian dari perancanganku.Aku menyertai program ini semasa di matrikulasi dahulu pada saat-saat akhir, iaitu mengisi kekosongan yang masih ada. Maka, secara tidak langsung aku mendaki tanpa sebarang persediaan fizikal, sesuatu yang MESTI dilakukan oleh sesiapa yang berhasrat untuk mendaki Kinabalu. Seingat aku dahulu, abang aku, Awinata, menyiapkan diri dengan berjogging sekurang-kurangnya 3 kilometer setiap pagi selama 3 bulan sebelum mendaki. Aku? hahaha.. Aku hanya jogging sekali, 3 kali pusing padang trek di pagi Ahad bersama Aesya, kemudian menghilangkan keletihan dan kelaparan dengan sarapan banyak-banyak di kafe. Kesudahannya, aku menangis hampir sepanjang pendakian!

Okey, kita mulakan dengan perjalanan ke puncak kinabalu. Untuk pendakian, adalah penting untuk memastikan anda membawa peralatan yang cukup tetapi paling minima. Minima yang dimaksudkan, hatta walau setin ikan sardin pun akan terasa sangat berat apabila anda sudah mendaki gunung itu, percayalah!

Pertama, Adalah penting untuk anda membawa/memakai baju tebal.Jangan berangan untuk hanya memakai t-shirt dan seluar bermuda dengan selipar untuk ke puncak. aku masih ingat, ayah pada mulanya tidak setuju dengan niatku untuk mendaki Kinabalu memandangkan aku langsung tiada persediaan fizikal, manakala ayah sudah 7 kali menawan Kinabalu sudah tentunya sangat arif bagaimana puncak itu harus ditawan. Namun, atas kedegilanku dan semangat melebihi akal fikiran, ayah akhirnya beralah dan menghantar baju tebal padaku; baju tebal yang selesa, tebal tapi tidak berat.

Kedua, sudah tentu t-shirt. aku sendiri pada masa itu memakai 3 lapis baju. Tshirt, baju lengan panjang dan baju tebal. Kemudian, gunakan seluar yang sesuai. Ala-ala seluar macam dalam iklan 'Camel', banyak poket tu. sekurang-kurangnya, benda-benda kecil boleh disimpan dalam poket.

ketiga, topeng muka. Di awal pendakian, mungkin tidak diperlukan. Tetapi, dalam perjalanan menghampiri puncak, ia sangat berguna, kerana cuaca yang sangat sejuk membuatkan wajah terasa kebas dek angin bayu yang sangat dingin. Jika orang bertanya tahap kedinginan, aku sering mengumpamakan, ketika di tempat penginapan, boleh letak secawan milo hangat di luar pada waktu malam. tunggu 20 minit, milo tu sudah sejuk umpama milo ais. hehe..

Keempat, sarung tangan dan kasut yang sesuai. kalau boleh, biarlah sarung tangan dari jenis kulit dan kalis air. maksudnya, ia tidak menyerap air, andaikata terkena pada cuaca hari hujan. kasut, jangan yang terlalu berat, atau anda akan tersiksa. jangan lupa bawa stokin tambahan, kalau-kalau hujan.

Kelima, baju hujan, lampu suluh (kalau boleh yang melekat di kepala), dan lipgloss/lipbalm. Tidak kira anda lelaki atau perempuan, anda perlukan lipbalm. atau bibir anda akan pecah-pecah.

Pastikan kesemua barangan anda muat dalam satu beg sahaja, dibawa di belakang anda. Jika anda mendaki dalam kumpulan, dan merancang untuk memasak sendiri, bolehlah bahagi-bahagikan tugas membawa barang.Di atas sana, peralatan untuk memasak disediakan. Atau, anda membawa wang tunai lebih, kerana di tempat penginapan ada restoran yang menyediakan makanan agak mahal.Oleh kerana kurang pengetahuan, semasa aku mendaki, boleh pulak dengan 'macho'nya makan mi maggi sahaja pada malam tu. Oh, jangan ikut cara ini! Sesungguhnya, anda memerlukan tenaga dalam misi menawan Kinabalu!
Kumpulan pendakianku pada masa itu memulakan pendakian pada jam8 pagi.Kami memilih untuk mendaki pada laluan lazim, iaitu melalui Timpohon. Terdapat satu lagi laluan yang dikatakan lebih sukar, iaitu Mesilau. Sebelum pendakian, setiap pendaki diberi satu tag nama, yang perlu dipakai sepanjang perjalanan. Setiap kumpulan/individu yang berhasrat untuk mendaki, wajib menempah guide@penunjuk arah. Ini kerana, sepanjang perjalanan, anda mungkin menemui lorong-lorong kecil yang mungkin mengelirukan. Adalah langkah bijak untuk bergerak dalam kumpulan bagi meminimakan kejadian tidak diingini. Maklumlah, hutan tebal di sepanjang pendakian bukan sahaja mengelirukan, malah kaya dengan unsur-unsur mistik. Namun, anda tidak perlu terlalu risau, kerana jalan sepanjang pendakian agak 'meriah' dengan kehadiran para pendaki dari seluruh dunia dan banyak pondok-pondok persinggahan disediakan untuk berhenti rehat. Anda hanya perlu membawa bekas air yang kecil, kerana sepanjang pendakian anda boleh mendapat bekalan air bersih dan segar dari mata air gunung. jangan bebankan berat barang yang harus dipikul dengan bekalan air yang boleh diperolehi sepanjang jalan.

Sepanjang pendakian, suasana memang memukau. Hijau, dan segar. Namun, aku sendiri merosakkan keadaan, dengan mendaki tanpa persediaan...huhuhu. Letih, sesak nafas pun ada. Asyik terfikir, "asyik mendaki sahaja...bila nak turun ni..." Hmm..dah nama pun mendaki, kenalah ke atas.Sekiranya anda seorang betul-betul cergas fizikal dan berpengalaman, seawal jam 12pm anda boleh tiba di tempat penginapan, Gunting Lagadan.Untuk yang sederhana, dalam jam 2. Untuk yang macam aku ketika itu, jam 4. dan untuk yang lebih teruk dari aku, boleh mencapai jam 8mlm. kadangkala anda mungkin sudah merancang, namun mendapat musibah tidak diingini, contohnya kejang kaki...aku yang tiada persediaan pada masa tu, memanglah mendapat kekejangan kaki.Nasib baik ada kawan yang membawa minyak urut dan guide bermurah hari membawa beg sandang aku..sedangkan, ada yang mengatakan sebenarnya setiap kilo yang dipikul mereka, harus dibayar.Tak suka nak mengimbas semua ni, kerana ia sungguh menyakitkan. Lega rasanya bila sampai di tempat penginapan. Ada yang pernah bertanya, kenapa perlu menginap. Kenapa tidak terus sahaja ke puncak pada hari yang sama? Aku pun lupa pula bertanya pada masa itu, tapi daripada pemerhatian, menjelang tengahari ke petang, kabus mula menyelubungi kawasan atas. Lagipun ia baik untuk berhenti rehat dan mengumpul tenaga sebelum meneruskan perjalanan esok pagi, iaitu menjelang jam 2 pagi. Oh, ya..anda mungkin tidak sanggup mandi dengan kedinginan yang sungguh mencengkam! Jadi, baju yang banyak tidak diperlukan. peluh pun sentiasa kering di sini...hehe.

Tempat penginapan yang aku tinggal tu, dalam bilik terdapat 2 katil bertingkat.maknanya boleh muat 4 orang.Tidur pula dalam sleeping bag, sebab sejuk sangat. Tak perlu risau, kelengkapan tidur ada disediakan. Menjelang jam 2, sekali lagi perjalanan diteruskan.pada masa inilah lampu suluh dan topeng muka memainkan peranan. Mungkin ada yang bertanya, kenapa kena bertolak seawal itu? suami aku pernah bertanya soalan yang sama ketika melihat rancangan TV di channel 707. Sebab yang pertama, bila sampai ke puncak, tentu anda mahu melihat matahari terbit. Kedua, anda akan sendiri tahu ketika perjalanan turun nanti..CURAM,GAYAT dan sewaktu dengannya.Kalau gelap-gelap tu, tak nampaklah kot. Tak bahaya ke jalan dalam gelap? Laluan yang disediakan cukup selamat... lagipun, sudah namanya mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara, itu bermakna setiap pendaki harus sedar ada sahaja risiko bahaya yang ditanggung...Bukannya busut belakang rumah..



Nak dijadikan cerita, perjalanan yang kedua ini sangatlah memeritkan. Oleh kerana berada pada altitud tinggi, oksigen semakin kurang..Maka lebih cepat penat, dan fikiran/ mental juga semakin cepat terasa 'sayu'. Setiap 7 langkah, aku berhenti dan menangis teresak-esak. Rasa menyesal tak sudah pun ada pada masa itu. Tapi memandangkan puncak hanya ada beberapa ratus meter di hadapan, aku menggagahkan diri. Aku pernah mendengar, andaikata anda mengantuk, jangan sesekali tidur. kadang-kadang jika anda mungkin pertama sampai ke puncak, anda terfikir untuk melelapkan mata seketika sementara menunggu kawan-kawan lain sampai. takut-takut tak bangun pulak..entahlah, pengaruh altitud ke apa. lepas tu, jangan sesekali bergerak seorang.pastikan dalam kumpulan, atau sekurang-kurangnya berteman. Alhamdulillah, menjelang matahari terbit, aku berjaya sampai ke puncak. sampai sahaja di sana,salah seorang guide akan mengambil nama anda, dan seusai itu mereka akan bergegas turun supaya bila anda sampai di bawah, sijil penghargaan telah siap untuk diberikan. Bergambar di puncak pula, kenalah bergilir-gilir. puncak tu kecil sahaja kawasannya. Perjalanan turun dari puncak ke Laban Rata kemudiannya, betul-betul menguji kegayatanku. alhamdulillah, selamat juga sampai di tempat penginapan. Selepas mengemas barang, perjalanan turun diteruskan lagi.

Perjalanan turun lebih cepat,namun lebih menyakitkan kerana ia memberi impak pada lutut. Maka, sesetengah rakan sekumpulan memilih untuk berlari semasa turun bagi mengurangkan rasa sakit. Menjelang lewat petang, sampai juga aku di Timpohon, iaitu tempat permulaan/pengakhiran pendakian...

Wah! tidak sangka sepanjang ini entriku kali ini.Ternyata selepas 10 tahun berlalu, pengalaman ini masih segar di ingatan. inila aktiviti terakhir yang aku ikut di pengajian matrikulasi. Impak kesakitan pada kaki, terasa sehingga 2 minggu lamanya. Aku masih ingat kerana 2 minggu selepas pendakian, aku memulakan tugas sebagai cikgu ganti di SK Pekan Pitas, satu daerah yang pernah menjadi kediaman kami sekeluarga selepas ayah ditugaskan ke sana selama beberapa tahun. Nak dikatakan pengalaman manis...aku tidak boleh mengiyakan sepenuhnya. Kegelisahan hati pada kesakitan fizikal seawal 200meter pendakian, hinggalah ke puncak dan perjalanan turun, membuatkan aku kurang memberi perhatian kepada keindahan alam...perkara yang harus dilakukan pada masa itu.

Jika tiada aral, aku mahu mendaki Kinabalu sekali lagi. Tahun lepas, ada merancang, namun masa tidak sesuai. Ditambah dengan Veenea yang masih sangat manja untuk ditinggalkan. lagipun, kali ini biarlah persediaan fizikal itu sungguh-sungguh. Untuk mendaki pula, kena 'booking' tempat sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum pendakian. kalau boleh, biarlah berkumpulan, supaya perjalanan lebih seronok dan selamat. rasa-rasa, tahun 2012 ni, mungkin pada pertengahan/penghujung tahun, rasa nak mendaki. bergantung pada keadaan.. Ada sesiapa berminat ikut serta? =p

Thursday, September 29, 2011

Pencinta Alam (bahagian 1 - Lembah Danum)





Aku seorang pencinta alam. Zaman kanak-kanak yang banyak dihabiskan dengan menerokai belukar, hutan kecil dan menyusuri sungai membuatkan diriku sedikit sebanyak membina satu ikatan dengan alam semulajadi. semasa kanak-kanak, aku begitu akrab dengan pokok-pokok berdekatan rumah, kerana hampir semuanya aku pernah panjat. Saban petang aku pasti terjun dan menyelam di dasar sungai yang terletak tidak jauh dari rumah. Malah, aku begitu gemar menanam pokok bunga di sekeliling rumah agar suasana lebih nampak hijau.

Masuk sekolah menengah, aku dengan bangganya mendaftarkan diri sebagai ahli Kelab Pencinta Alam Sabah. Masih segar di ingatan, aku ada membeli sehelai t-shirt kelab yang berlatar belakangkan Lembah Danum, satu destinasi hutan dara yang menarik di Sabah.

Tanpa dirancang, ketika di matrikulasi, aku berpeluang mengikuti program ke Lembah Danum. Seingat aku, penyertaan ini memang tidak pernah aku mimpikan. Kebetulan peluang datang dan aku tidak mensia-siakan peluang untuk menyertainya, iaitu selama 5 hari 4 malam.baru-baru ini ketika balik kampung, aku cuba mencari gambar-gambar ketika mengikuti program ini, tapi tidak terjumpa pula. Mungkin semunya sudah habis musnah dalam kejadian banjir tahun lepas. Apapun, mana mungkin aku bisa melupakan rusa-rusa meragut di padang rumput, babi hutan yang mengunjungi kawasan penginapan saban pagi, serta ketakutanku pada pacat yang memaksaku memakai stokin pacat kerana terlalu takut digigit.walaupun pihak pengurusan Lembah Danum menyediakan sijil penghargaan kepada sesiapa yang digigit pacat (umpama derma darah), itu tidak mempengaruhiku untuk memasang umpan betis kepada para pacat semasa mengharungi hutan untuk aktiviti 'jungle trekking'. Pencapaian yang tidak kulupakan adalah ketika berjaya memanjat pokok di Lembah Danum, dan berjaya sampai pada pelantar peninjau tertinggi di situ, memang seronok. walaupun sudah 10 tahun berlalu, ia masih segar dalam ingatan. Berkayak, mandi air terjun, malah memanjat beberapa buah bukit dan berpeluang melihat kawasan penempatan awal manusia.

Di sana juga kami berjumpa dengan sebuah keluarga dari Eropah yang sudah 2 bulan duduk di situ semata-mata untuk aktiviti 'bird watching'. Ada juga seorang pengkaji Orang Utan ytang sudah bertahun-tahun di situ bagi menyiapkan tesis untuk mendapatkan Phd.

Pada ketika itu, rombongan kami terpisah langsung dari dunia luar kerana kawasan penginapan kami tidak termasuk dalam mana-mana 'wilayah' talian telefon. TV, radio pun tidak ada, jauh sekali suratkhabar. Tenaga letrik pula bergantung pada kuasa generator yang dihadkan penggunaannya. Tidak tahu pula bagaimana keadaannya sekarang.

Melalui pengalaman ke Lembah Danum ini, aku mula mengenali satu lagi destinasi lain yang kedengaran begitu menarik, iaitu Maliau Basin; diterangkan oleh para renjer yang bertugas ketika itu.Sehingga saat ini, aku belum berpeluang ke Maliau Basin. Bila diimbas-imbas balik, semasa di sekolah menengah aku pernah melekatkan satu poster air terjun yang sangat indah yang terdapat di Maliau Basin betul-betul di kepala katil tempat tidurku, lantaran begitu mengagumi air terjun ciptaan Allah.
Semacam ada satu ikatan pada setiap kejadian yang berlaku! Moga-moga sahaja suatu hari aku bisa menjejakkan kaki ke Maliau Basin.

Oh,ya. Jika anda berminat ke Lembah Danum, ambillah masa sekurang-kurangnya 5 hari untuk menikmatinya. Aku sendiri kurang arif tentang prosedur untuk ke sana, kerana pada masa itu aku cuma bayar yuran dan pihak kolej yang menguruskan segala-galanya. Tapi ia memang memerlukan prosedur biasa,seperti tempahan penginapan dan makluman lebih awal. Jangan main redah sahaja pula ke sana. Kalau dari Kota Kinabalu, ia mengambil masa perjalanan sepanjang siang. Seingat aku dulu, kami bertolak pukul 8pagi,dan sampai ke destinasi menjelang malam.Ia satu destinasi yang sangat hebat, terutama untuk pencinta alam. Kedinginan, kehijauan alam dan kesegaran udara sememangnya menggoda jiwa.

Sampai sini sahaja, entri akan datang masih berkisar tentang keindahan alam. Aku cuba berkongsi pengalaman mendaki Kinabalu, gunung yang tertinggi di Asia Tenggara.