Pages

ads

Friday, September 30, 2011

Pencinta Alam (Bahagian 2 - Kinabalu)

Pemandangan Gunung Kinabalu dari kampungku (Gambar dari Http://rangalau.blogspot.com)



Aku sering berseloroh, tidak sah menjadi orang Sabah kalau belum mendaki Kinabalu! Itu sebenarnya hanya kata-kata gurauan, namun aku bangga kerana sudah menawan puncak tertinggi di Asia Tenggara itu.

Seperti Lembah Danum, mendaki Kinabalu bukan sebahagian dari perancanganku.Aku menyertai program ini semasa di matrikulasi dahulu pada saat-saat akhir, iaitu mengisi kekosongan yang masih ada. Maka, secara tidak langsung aku mendaki tanpa sebarang persediaan fizikal, sesuatu yang MESTI dilakukan oleh sesiapa yang berhasrat untuk mendaki Kinabalu. Seingat aku dahulu, abang aku, Awinata, menyiapkan diri dengan berjogging sekurang-kurangnya 3 kilometer setiap pagi selama 3 bulan sebelum mendaki. Aku? hahaha.. Aku hanya jogging sekali, 3 kali pusing padang trek di pagi Ahad bersama Aesya, kemudian menghilangkan keletihan dan kelaparan dengan sarapan banyak-banyak di kafe. Kesudahannya, aku menangis hampir sepanjang pendakian!

Okey, kita mulakan dengan perjalanan ke puncak kinabalu. Untuk pendakian, adalah penting untuk memastikan anda membawa peralatan yang cukup tetapi paling minima. Minima yang dimaksudkan, hatta walau setin ikan sardin pun akan terasa sangat berat apabila anda sudah mendaki gunung itu, percayalah!

Pertama, Adalah penting untuk anda membawa/memakai baju tebal.Jangan berangan untuk hanya memakai t-shirt dan seluar bermuda dengan selipar untuk ke puncak. aku masih ingat, ayah pada mulanya tidak setuju dengan niatku untuk mendaki Kinabalu memandangkan aku langsung tiada persediaan fizikal, manakala ayah sudah 7 kali menawan Kinabalu sudah tentunya sangat arif bagaimana puncak itu harus ditawan. Namun, atas kedegilanku dan semangat melebihi akal fikiran, ayah akhirnya beralah dan menghantar baju tebal padaku; baju tebal yang selesa, tebal tapi tidak berat.

Kedua, sudah tentu t-shirt. aku sendiri pada masa itu memakai 3 lapis baju. Tshirt, baju lengan panjang dan baju tebal. Kemudian, gunakan seluar yang sesuai. Ala-ala seluar macam dalam iklan 'Camel', banyak poket tu. sekurang-kurangnya, benda-benda kecil boleh disimpan dalam poket.

ketiga, topeng muka. Di awal pendakian, mungkin tidak diperlukan. Tetapi, dalam perjalanan menghampiri puncak, ia sangat berguna, kerana cuaca yang sangat sejuk membuatkan wajah terasa kebas dek angin bayu yang sangat dingin. Jika orang bertanya tahap kedinginan, aku sering mengumpamakan, ketika di tempat penginapan, boleh letak secawan milo hangat di luar pada waktu malam. tunggu 20 minit, milo tu sudah sejuk umpama milo ais. hehe..

Keempat, sarung tangan dan kasut yang sesuai. kalau boleh, biarlah sarung tangan dari jenis kulit dan kalis air. maksudnya, ia tidak menyerap air, andaikata terkena pada cuaca hari hujan. kasut, jangan yang terlalu berat, atau anda akan tersiksa. jangan lupa bawa stokin tambahan, kalau-kalau hujan.

Kelima, baju hujan, lampu suluh (kalau boleh yang melekat di kepala), dan lipgloss/lipbalm. Tidak kira anda lelaki atau perempuan, anda perlukan lipbalm. atau bibir anda akan pecah-pecah.

Pastikan kesemua barangan anda muat dalam satu beg sahaja, dibawa di belakang anda. Jika anda mendaki dalam kumpulan, dan merancang untuk memasak sendiri, bolehlah bahagi-bahagikan tugas membawa barang.Di atas sana, peralatan untuk memasak disediakan. Atau, anda membawa wang tunai lebih, kerana di tempat penginapan ada restoran yang menyediakan makanan agak mahal.Oleh kerana kurang pengetahuan, semasa aku mendaki, boleh pulak dengan 'macho'nya makan mi maggi sahaja pada malam tu. Oh, jangan ikut cara ini! Sesungguhnya, anda memerlukan tenaga dalam misi menawan Kinabalu!
Kumpulan pendakianku pada masa itu memulakan pendakian pada jam8 pagi.Kami memilih untuk mendaki pada laluan lazim, iaitu melalui Timpohon. Terdapat satu lagi laluan yang dikatakan lebih sukar, iaitu Mesilau. Sebelum pendakian, setiap pendaki diberi satu tag nama, yang perlu dipakai sepanjang perjalanan. Setiap kumpulan/individu yang berhasrat untuk mendaki, wajib menempah guide@penunjuk arah. Ini kerana, sepanjang perjalanan, anda mungkin menemui lorong-lorong kecil yang mungkin mengelirukan. Adalah langkah bijak untuk bergerak dalam kumpulan bagi meminimakan kejadian tidak diingini. Maklumlah, hutan tebal di sepanjang pendakian bukan sahaja mengelirukan, malah kaya dengan unsur-unsur mistik. Namun, anda tidak perlu terlalu risau, kerana jalan sepanjang pendakian agak 'meriah' dengan kehadiran para pendaki dari seluruh dunia dan banyak pondok-pondok persinggahan disediakan untuk berhenti rehat. Anda hanya perlu membawa bekas air yang kecil, kerana sepanjang pendakian anda boleh mendapat bekalan air bersih dan segar dari mata air gunung. jangan bebankan berat barang yang harus dipikul dengan bekalan air yang boleh diperolehi sepanjang jalan.

Sepanjang pendakian, suasana memang memukau. Hijau, dan segar. Namun, aku sendiri merosakkan keadaan, dengan mendaki tanpa persediaan...huhuhu. Letih, sesak nafas pun ada. Asyik terfikir, "asyik mendaki sahaja...bila nak turun ni..." Hmm..dah nama pun mendaki, kenalah ke atas.Sekiranya anda seorang betul-betul cergas fizikal dan berpengalaman, seawal jam 12pm anda boleh tiba di tempat penginapan, Gunting Lagadan.Untuk yang sederhana, dalam jam 2. Untuk yang macam aku ketika itu, jam 4. dan untuk yang lebih teruk dari aku, boleh mencapai jam 8mlm. kadangkala anda mungkin sudah merancang, namun mendapat musibah tidak diingini, contohnya kejang kaki...aku yang tiada persediaan pada masa tu, memanglah mendapat kekejangan kaki.Nasib baik ada kawan yang membawa minyak urut dan guide bermurah hari membawa beg sandang aku..sedangkan, ada yang mengatakan sebenarnya setiap kilo yang dipikul mereka, harus dibayar.Tak suka nak mengimbas semua ni, kerana ia sungguh menyakitkan. Lega rasanya bila sampai di tempat penginapan. Ada yang pernah bertanya, kenapa perlu menginap. Kenapa tidak terus sahaja ke puncak pada hari yang sama? Aku pun lupa pula bertanya pada masa itu, tapi daripada pemerhatian, menjelang tengahari ke petang, kabus mula menyelubungi kawasan atas. Lagipun ia baik untuk berhenti rehat dan mengumpul tenaga sebelum meneruskan perjalanan esok pagi, iaitu menjelang jam 2 pagi. Oh, ya..anda mungkin tidak sanggup mandi dengan kedinginan yang sungguh mencengkam! Jadi, baju yang banyak tidak diperlukan. peluh pun sentiasa kering di sini...hehe.

Tempat penginapan yang aku tinggal tu, dalam bilik terdapat 2 katil bertingkat.maknanya boleh muat 4 orang.Tidur pula dalam sleeping bag, sebab sejuk sangat. Tak perlu risau, kelengkapan tidur ada disediakan. Menjelang jam 2, sekali lagi perjalanan diteruskan.pada masa inilah lampu suluh dan topeng muka memainkan peranan. Mungkin ada yang bertanya, kenapa kena bertolak seawal itu? suami aku pernah bertanya soalan yang sama ketika melihat rancangan TV di channel 707. Sebab yang pertama, bila sampai ke puncak, tentu anda mahu melihat matahari terbit. Kedua, anda akan sendiri tahu ketika perjalanan turun nanti..CURAM,GAYAT dan sewaktu dengannya.Kalau gelap-gelap tu, tak nampaklah kot. Tak bahaya ke jalan dalam gelap? Laluan yang disediakan cukup selamat... lagipun, sudah namanya mendaki gunung tertinggi di Asia Tenggara, itu bermakna setiap pendaki harus sedar ada sahaja risiko bahaya yang ditanggung...Bukannya busut belakang rumah..



Nak dijadikan cerita, perjalanan yang kedua ini sangatlah memeritkan. Oleh kerana berada pada altitud tinggi, oksigen semakin kurang..Maka lebih cepat penat, dan fikiran/ mental juga semakin cepat terasa 'sayu'. Setiap 7 langkah, aku berhenti dan menangis teresak-esak. Rasa menyesal tak sudah pun ada pada masa itu. Tapi memandangkan puncak hanya ada beberapa ratus meter di hadapan, aku menggagahkan diri. Aku pernah mendengar, andaikata anda mengantuk, jangan sesekali tidur. kadang-kadang jika anda mungkin pertama sampai ke puncak, anda terfikir untuk melelapkan mata seketika sementara menunggu kawan-kawan lain sampai. takut-takut tak bangun pulak..entahlah, pengaruh altitud ke apa. lepas tu, jangan sesekali bergerak seorang.pastikan dalam kumpulan, atau sekurang-kurangnya berteman. Alhamdulillah, menjelang matahari terbit, aku berjaya sampai ke puncak. sampai sahaja di sana,salah seorang guide akan mengambil nama anda, dan seusai itu mereka akan bergegas turun supaya bila anda sampai di bawah, sijil penghargaan telah siap untuk diberikan. Bergambar di puncak pula, kenalah bergilir-gilir. puncak tu kecil sahaja kawasannya. Perjalanan turun dari puncak ke Laban Rata kemudiannya, betul-betul menguji kegayatanku. alhamdulillah, selamat juga sampai di tempat penginapan. Selepas mengemas barang, perjalanan turun diteruskan lagi.

Perjalanan turun lebih cepat,namun lebih menyakitkan kerana ia memberi impak pada lutut. Maka, sesetengah rakan sekumpulan memilih untuk berlari semasa turun bagi mengurangkan rasa sakit. Menjelang lewat petang, sampai juga aku di Timpohon, iaitu tempat permulaan/pengakhiran pendakian...

Wah! tidak sangka sepanjang ini entriku kali ini.Ternyata selepas 10 tahun berlalu, pengalaman ini masih segar di ingatan. inila aktiviti terakhir yang aku ikut di pengajian matrikulasi. Impak kesakitan pada kaki, terasa sehingga 2 minggu lamanya. Aku masih ingat kerana 2 minggu selepas pendakian, aku memulakan tugas sebagai cikgu ganti di SK Pekan Pitas, satu daerah yang pernah menjadi kediaman kami sekeluarga selepas ayah ditugaskan ke sana selama beberapa tahun. Nak dikatakan pengalaman manis...aku tidak boleh mengiyakan sepenuhnya. Kegelisahan hati pada kesakitan fizikal seawal 200meter pendakian, hinggalah ke puncak dan perjalanan turun, membuatkan aku kurang memberi perhatian kepada keindahan alam...perkara yang harus dilakukan pada masa itu.

Jika tiada aral, aku mahu mendaki Kinabalu sekali lagi. Tahun lepas, ada merancang, namun masa tidak sesuai. Ditambah dengan Veenea yang masih sangat manja untuk ditinggalkan. lagipun, kali ini biarlah persediaan fizikal itu sungguh-sungguh. Untuk mendaki pula, kena 'booking' tempat sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum pendakian. kalau boleh, biarlah berkumpulan, supaya perjalanan lebih seronok dan selamat. rasa-rasa, tahun 2012 ni, mungkin pada pertengahan/penghujung tahun, rasa nak mendaki. bergantung pada keadaan.. Ada sesiapa berminat ikut serta? =p