Pages

ads

Thursday, September 29, 2011

Pencinta Alam (bahagian 1 - Lembah Danum)





Aku seorang pencinta alam. Zaman kanak-kanak yang banyak dihabiskan dengan menerokai belukar, hutan kecil dan menyusuri sungai membuatkan diriku sedikit sebanyak membina satu ikatan dengan alam semulajadi. semasa kanak-kanak, aku begitu akrab dengan pokok-pokok berdekatan rumah, kerana hampir semuanya aku pernah panjat. Saban petang aku pasti terjun dan menyelam di dasar sungai yang terletak tidak jauh dari rumah. Malah, aku begitu gemar menanam pokok bunga di sekeliling rumah agar suasana lebih nampak hijau.

Masuk sekolah menengah, aku dengan bangganya mendaftarkan diri sebagai ahli Kelab Pencinta Alam Sabah. Masih segar di ingatan, aku ada membeli sehelai t-shirt kelab yang berlatar belakangkan Lembah Danum, satu destinasi hutan dara yang menarik di Sabah.

Tanpa dirancang, ketika di matrikulasi, aku berpeluang mengikuti program ke Lembah Danum. Seingat aku, penyertaan ini memang tidak pernah aku mimpikan. Kebetulan peluang datang dan aku tidak mensia-siakan peluang untuk menyertainya, iaitu selama 5 hari 4 malam.baru-baru ini ketika balik kampung, aku cuba mencari gambar-gambar ketika mengikuti program ini, tapi tidak terjumpa pula. Mungkin semunya sudah habis musnah dalam kejadian banjir tahun lepas. Apapun, mana mungkin aku bisa melupakan rusa-rusa meragut di padang rumput, babi hutan yang mengunjungi kawasan penginapan saban pagi, serta ketakutanku pada pacat yang memaksaku memakai stokin pacat kerana terlalu takut digigit.walaupun pihak pengurusan Lembah Danum menyediakan sijil penghargaan kepada sesiapa yang digigit pacat (umpama derma darah), itu tidak mempengaruhiku untuk memasang umpan betis kepada para pacat semasa mengharungi hutan untuk aktiviti 'jungle trekking'. Pencapaian yang tidak kulupakan adalah ketika berjaya memanjat pokok di Lembah Danum, dan berjaya sampai pada pelantar peninjau tertinggi di situ, memang seronok. walaupun sudah 10 tahun berlalu, ia masih segar dalam ingatan. Berkayak, mandi air terjun, malah memanjat beberapa buah bukit dan berpeluang melihat kawasan penempatan awal manusia.

Di sana juga kami berjumpa dengan sebuah keluarga dari Eropah yang sudah 2 bulan duduk di situ semata-mata untuk aktiviti 'bird watching'. Ada juga seorang pengkaji Orang Utan ytang sudah bertahun-tahun di situ bagi menyiapkan tesis untuk mendapatkan Phd.

Pada ketika itu, rombongan kami terpisah langsung dari dunia luar kerana kawasan penginapan kami tidak termasuk dalam mana-mana 'wilayah' talian telefon. TV, radio pun tidak ada, jauh sekali suratkhabar. Tenaga letrik pula bergantung pada kuasa generator yang dihadkan penggunaannya. Tidak tahu pula bagaimana keadaannya sekarang.

Melalui pengalaman ke Lembah Danum ini, aku mula mengenali satu lagi destinasi lain yang kedengaran begitu menarik, iaitu Maliau Basin; diterangkan oleh para renjer yang bertugas ketika itu.Sehingga saat ini, aku belum berpeluang ke Maliau Basin. Bila diimbas-imbas balik, semasa di sekolah menengah aku pernah melekatkan satu poster air terjun yang sangat indah yang terdapat di Maliau Basin betul-betul di kepala katil tempat tidurku, lantaran begitu mengagumi air terjun ciptaan Allah.
Semacam ada satu ikatan pada setiap kejadian yang berlaku! Moga-moga sahaja suatu hari aku bisa menjejakkan kaki ke Maliau Basin.

Oh,ya. Jika anda berminat ke Lembah Danum, ambillah masa sekurang-kurangnya 5 hari untuk menikmatinya. Aku sendiri kurang arif tentang prosedur untuk ke sana, kerana pada masa itu aku cuma bayar yuran dan pihak kolej yang menguruskan segala-galanya. Tapi ia memang memerlukan prosedur biasa,seperti tempahan penginapan dan makluman lebih awal. Jangan main redah sahaja pula ke sana. Kalau dari Kota Kinabalu, ia mengambil masa perjalanan sepanjang siang. Seingat aku dulu, kami bertolak pukul 8pagi,dan sampai ke destinasi menjelang malam.Ia satu destinasi yang sangat hebat, terutama untuk pencinta alam. Kedinginan, kehijauan alam dan kesegaran udara sememangnya menggoda jiwa.

Sampai sini sahaja, entri akan datang masih berkisar tentang keindahan alam. Aku cuba berkongsi pengalaman mendaki Kinabalu, gunung yang tertinggi di Asia Tenggara.