Pages

ads

Monday, October 31, 2011

Pencinta Alam (Bahagian 3 - Beg Sendiri)


Aku tidak menafikan ada kecintaan yang kuat terhadap alam sekitar di dalam diri aku. Mungkin latar belakang aku sendiri yang lahir dan membesar dalam suasana kampung yang penuh kehijauan. Hidup zaman kampus dulu pula di bumi kenyalang, UNIMAS di Kota Samarahan yang pada masa itu masih di kampus lama...ala-ala chalet dan memang dikelilingi rimbunan pokok menghijau, sangat sesuai dengan logonya iaitu pokok kayu. Maka, apabila aku menjejak kaki di sini (Kajang) kira-kira 5 tahun lepas, tidak hairanlah kepala aku jadi sakit dek pemandangan mata yang hanya melihat konkrit, konkrit dan konkrit. Telinga aku bingit dengan pencemaran bunyi, terutama semasa sempat duduk di KL. Setiap hari perlu mendengar bunyi tren dan hon kenderaan yang bagai tidak berpenghujung.

Selepas berumahtangga, aku dan suami duduk di Semenyih. Hati aku sedikit lega, meskipun tinggal di kawasan taman perumahan, suasana di sini agak tenang dan konsep rumah di sini yang kulihat mengamalkan 1 rumah 1 pokok. Di depan rumah ni ada pokok jambu air yang berbuah ranum sepanjang masa. Kawan-kawan yang pernah berkunjung di sini pun mengatakan suasana di sini agak relaks dan tidak bingit seperti mereka yang tinggal di ibukota. Mungkin sebab itu aku sentiasa menolak cadangan suami untuk berpindah ke rumahnya (rumah yang belum didiami..belum terasa nak panggil rumah 'kami') di Rawang. Selepas beberapa kali ke sana, aku masih kurang berkenan dengan suasana sekelilingnya.

Sejak kerajaan Selangor memutuskan untuk menjadikan hari Sabtu adalah Hari Tanpa Beg Plastik sejak Januari 2010 (diikuti oleh Kerajaan Persekutuan pada tahun berikutnya), aku agak gembira kerana ini satu langkah yang positif dalam usaha memanjangkan hayat bumi, walaupun hayat bumi itu sebenarnya terletak pada kuasa Tuhan. Namun sebagai penghuni, aku percaya kita perlu bertanggungjawab ke atas setiap perbuatan yang menyumbang kepada pencemaran alam, memandangkan kita yang tergolong dalam spesies 'manusia' yang merupakan satu-satunya mahkluk yang dikurniakan akal fikiran untuk membuat sebarang keputusan yang wajar.

Menceritakan pengalaman pada awal perlaksanaan program ini ketika masih bekerja di salah sebuah kedai farmasi rangkaian, aku dan rakan-rakan sekerja mengalami banyak kesukaran. Ya, memang susah untuk mengubah tabiat manusia, apatah lagi jika fikiran mereka terlalu banyak unsur negatif. Mungkin cara perlaksanaan program yang meminta pelanggan membawa beg sendiri pada setiap hari Sabtu itu dianggap tidak relevan bagi sesetengah pihak yang aku kira sebagai 'buta hati'. Aku melabelkan begitu kerana mereka merungut, mengeluarkan kata-kata kesat kepada kami yang berada di kaunter pembayaran seolah-olah tiada langsung perasaan tanggungjawab dalam menjaga alam sekitar. Malah, kadangkala bersikap biadap kerana beg plastik pada hari Sabtu dikenakan bayaran 20sen setiap satu. Mereka mula bercerita tentang penyelewengan duit 20sen (yang sebenarnya disalurkan pada badan-badan kebajikan), tidak kurang ada yang membangkitkan soal politik dan memarahi kami kononnya menyusahkan mereka. Perkara biasa pada ketika itu bila ada pelanggan yang menghentak meja kaunter, membatalkan transaksi pembelian dan wajah kami dituding-tuding dengan jari. Memang perit mendidik jiwa manusia! Aku sedih terutama jika mereka ini terdiri dari golongan ibu bapa dan disaksikan oleh anak-anak mereka yang masih kecil. Dalam hati ini berbisik, beginikah contoh yang mereka mahu tunjukkan pada generasi pelapis negara? Justeru pembentukan akhlak yang bagaimana harus mereka inginkan jika semua kebiadapan ini dilakukan di hadapan anak-anak yang masih mentah? Aku okey jika mereka terlupa membawa beg, harus membayar 20sen, menerimanya dengan doa di hati ini agar itu menjadi ingatan kepada mereka di masa-masa akan datang untuk tidak lupa. Aku sendiri kadang-kadang terlupa membawa beg sendiri pada hari Sabtu, kadang-kadang terpaksa membayar 20sen dan kemudian mengingatkan diri supaya pada masa-masa akan datang tidak mengulanginya lagi. Lagipun objektif utamanya adalah mengurangkan penggunaan beg plastik, bukan nak pungut duit. kalau tidak dibuat begitu, nescaya kita tidak ada kesedaran kerana bayangkan selepas setahun (januari 2011), masih ada pelanggan yang tidak tahu akan perlaksanaan program ini.

Aku cukup 'tabik' pada kaum Cina, kerana rata-rata pelanggan Cina di kedai pada masa itu, hanya memerlukan 3 minggu untuk memupuk kesedaran membawa beg sendiri. Selepas itu, aku memang tiada masalah terhadap mereka, malah pada hari-hari biasa pun mereka bawa beg sendiri. Mereka secara berseloroh berkata, "Rugi maa...20sen." Ya, mereka memang bijak mengatur perbelanjaan walaupun hanya melibatkan amaun kecil, sekaligus menyokong program ini. Itu menunjukkan mereka peka dan positif menerima objektif program Hari Tanpa Plastik ini.

Program sebegini harus disokong. Perlu menerimanya dengan hati yang lapang, kerana alam ini bukan kita yang punya. Alam ini akan kita wariskan kepada anak-anak kita. Kita tidak patut mewariskan alam ini dengan keadaannya rosak hanya kerana kita degil untuk mengurangkan penggunaan plastik. Tanggungjawab sekecil itu pun payah sangat untuk dilaksanakan. Berfikir positiflah, setiap kali anda membawa beg anda sendiri, berdoalah dalam hati kalau ada 10 orang membuat tindakan yang sama seperti anda (mengubah beg plastik kepada beg sendiri), maka dunia ini akan menjadi lebih baik. Tidak susah pun. Kasihan anak cucu kita jika mendiami dunia yang tercemar dengan kita sebagai salah seorang penyumbang kerosakan alam.