Hari ini aku membuka kembali senarai harapan yang aku buat di awal tahun. Ada 6 semuanya. Salah satu sudah terlaksana, maka tinggal lagi 5.
Hidup ini, kita harus berani bermimpi. Aku terbaca kata-kata ini di sebuah artikel yang ditulis oleh seorang motivater yang sedang meningkat naik. Maka, setelah lama aku berdiam. Aku rasa, ini masanya untuk aku membuka buku yang baru.
Sesi taaruf.
Nama aku, Vidaranieta Apin. Punya satu nama lagi, Nur Solehah Mohd Ariffin. Panggillah mana-mana pun, walaupun hanya nama yang pertama ada di dalam IC. Sebab, di akhirat nanti, aku pun kurang pasti atas nama apa aku akan dipanggil.
Tahun ini berumur 31 tahun. Mengambil keputusan berhenti kerja 2 tahun lepas untuk menumpukan perhatian kepada anak, dan memberi laluan kepada ayahnya mengembangkan kerjaya pada masa itu kerana dia mendapat jawatan Executive Chef yang menuntut kesibukan masa teramat.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Advent Rangalau Kota Belud, tadika. Sebelum ke SK Pekan Kota Belud, darjah 1-6. Sepanjang waktu itu, aku merupakan pelajar cemerlang, walaupun agak pendiam.
Memilih untuk menolak tawaran ke sekolah berasrama penuh, aku menyambung pelajaran ke SMK Arshad Kota Belud sehingga tingkatan lima. Masih berjaya menempatkan diri di kalangan pelajar cemerlang sehingga tingkatan 3. Semasa SPM, keputusan biasa-biasa, tapi masih ok pada aku kerana berjaya melanjutkan pelajaran ke Matrikulasi Kolej Ibukota Kinabalu, selepas menolak tawaran ke tingkatan 6 rendah di salah sebuah sekolah di Kota Kinabalu (sudah lupa namanya).
Aku bukanlah seorang pelajar yang ekstrim dalam belajar. Aku juga bukan pelajar yang ada jadual belajar tertentu. semasa matrikulasi, aku sedikit nakal namun masih berjaya menempah tempat di Universiti Malaysia Sarawak dan mendapat tajaan biasiswa Kerajaan Negeri Sabah. sepanjang di universiti, aku masih mengamalkan cara belajar yang 'sempoi' dan percaya bahawa institusi pengajian tinggi bukan sekadar sebuah tempat untuk mendapatkan ijazah, tetapi juga untuk mempelajari banyak perkara seperti politik, persatuan, ketuhanan, pergaulan dan pelbagai aspek kehidupan. Pada aku, kehidupan kampus adalah satu kurniaan Allah yang hebat, kerana pada masa inilah kita boleh bergaul sesama golongan terpelajar. maka, perkembangan minda bagai mencapah-capah.
Pada tahun 2006, akhirnya aku bergraduasi. lantas merantau di negeri orang untuk mencari pekerjaan. Pekerjaan pertama aku adalah sebagai waitress di sebuah restoran ala Vietnam di Midvalley Kuala Lumpur. Kemudian aku mendapat kerja di salah sebuah syarikat di Menara Rebung TM, sebelum akhirnya menyertai GCH Retails (Giant). sebelum kembali menyertai GCH Retails (Guardian Pharmacy), aku sempat bekerja di sebuah syarikat survey di Damansara selamam beberapa bulan.
pada tahun 2008, aku mula bekerja di Guardian Pharmacy Ampang Park, Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Guardian Metro Kajang, selepas berkahwin. Aku terus bekerja di sini sehinggalah aku meletak jawatan pada tahun 2011, dan memilih menjadi suri rumah sepenuh masa.
Kita harus berani bermimpi.
Kata-kata ini sungguh mencabar. Insya Allah, aku akan mula bermimpi lagi. Menelusuri kembali jalur kehidupan lalu, membuatkan aku sedar bahawa aku pernah menjadi seorang yang begitu 'baik'. dengan asas yang sebegitu, aku akan menyambung kembali apa yang pernah aku rasa sudah berhenti.
Mari bermimpi, dan membawa haluannya ke alam nyata.
puitis ;)
ReplyDeleteada makna simbolik entri ni Kak Nisa'. ;) Hidup mesti diteruskan.
Delete